SELAMAT DATANG KE LAMAN SESAWANG PENA DAN AKSARA

Tuesday 31 July 2018

Tahun 6K

SEJARAH KEMERDEKAAN NEGARA

Tanggal 31 Ogos diabadikan setiap tahun sebagai tarikh penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Namun, slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai kemerdekaan yang sebenarnya.

     Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka malah merupakan penghayatan dan pemahaman maksud serta kepentingan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi.

     Mungkin ramai yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenar. Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
     Kemerdekaan telah mengangkat maruah dan kedaulatan negara kerana tidak boleh dijual beli. Rakyat Malaysia yang cintakan tanah air wajar memelihara nama baik negara di mana sahaja mereka berada. Aspek keselamatan, maruah dan kedaulatan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan tetapi turut dipikul bersama oleh seluruh rakyat. 
     
     Kemerdekaan ini bukanlah takdir semata-mata tetapi adalah hasil usaha pejuang dan pemimpin terdahulu. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga maruah serta kedaulatan negara. Sematkan juga di dalam diri semangat cintakan negara serta sentiasa menjaga dan menjulang nama baik Malaysia walau di mana kita berada.

Tuesday 13 March 2018

Latihan Pengukuhan Intelek 5A

Jawapan Zon Penulisan :

          Gambar di atas menunjukkan iklan gotong-royong di sebuah sekolah. Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJKC Taman Sentosa menganjurkan gotong-royong perdana pada 18 Mei 2017. Program ini bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari. Para ibu bapa dan masyarakat setempat dijemput hadir untuk bersama-sama bergotong-royong bagi membersihkan dan menceriakan sekolah. Tujuannya adalah untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk murid-murid belajar. Tempat berkumpul adalah di dewan sekolah dan digalakkan membawa peralatan bersesuaian untuk gotong-royong. Selain itu minum pagi dan makan tengah hari disediakan untuk peserta gotong-royong.

Tuesday 30 January 2018

Koleksi Syair, Puisi, Sajak

SAJAK : HIDUP SEPAKAT MEMBAWA BERKAT


Inilah kisah di sebuah desa
Penduduknya banyak berbilang bangsa
Berbeza adat, budaya, bahasa
Namun hidup sekata sentiasa
  
Susah senang sama berganding
Segala masalah dibawa berunding
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Bagaikan aur dengan tebing


1    Hidup sepakat setiap masa
Kaya dan miskin sama merasa
Orang yang susah dibantu sentiasa
Hidup mereka aman sentosa

Apabila tiba musim perayaan
Kunjung-mengunjung menjadi amalan
Jari disusun memohon kemaafan
Hidup harmoni sepanjang zaman

Dijaga dikawal keselamatan desa
Setiap malam meronda sentiasa
Tanpa disuruh tanpa dipaksa
Desa selamat sepanjang masa

Demikianlah kisah sudah tersurat
Penduduknya bersatu berganding erat
Desa pun aman penghuni selamat
Hidup sepakat membawa berkat.





Bahagian A : Membina 5 Ayat berdasarkan gambar


Latihan 1


11.      Apabila kita bertemu dengan orang tua, kita perlu mengucapkan salam kepada mereka.

22.      Berjalan di hadapan orang tua perlu merendahkan badan dengan berbongkok seolah-olah meminta izin dengan mereka.

33.      Kita mesti bertingkah laku dan bercakap dengan sopan apabila berkomunikasi dengan orang yang lebih tua daripada kita.

44.      Kita mesti menolong orang tua contohnya mengangkat barang mereka atau menolong mereka melintas jalan.

55.      Kita mestilah merendahkan suara apabila bertutur dengan orang yang lebih tua daripada kita.


Wednesday 10 January 2018

Bahagian B : Menulis Ulasan (1)


Tulis ulasan berpandukan Piramid Makanan di atas. Panjang ulasan 50-80 patah perkataan. 

    
          Gambar di atas menunjukkan poster makanan sebagai panduan makan secara sihat. Kita harus makan paling banyak makanan seperti bijirin dan ubi kerana dapat membekalkan tenaga. Seterusnya, kita perlu makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi vitamin. Makanan seperti susu, dadih, keju, ikan, ayam, daging dan kekacang perlu dimakan secara sederhana. Makan paling sedikit seperti lemak, minyak, garam dan gula supaya dapat mengelakkan penyakit kencing manis. Akhir sekali, kita perlu mengamalkan makan makanan secara sihat supaya kita sihat sepanjang hayat.



 


Sunday 7 January 2018

Karangan : Surat Kiriman Tidak Rasmi



                                                                                                              No 1, Lorong 8,
                                                                                                              Taman Bemban Jaya,
                                                                                                              31000 Simpang Empat,
                                                                                                              Seberang Perai Selatan,
                                                                                                              Pulau Pinang.

                                                                                                              8 Januari 2018

              Menemui sahabatku Syamimi yang kini berada di Batu Gajah, Perak. Semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Sahabatku,

               Apa khabar saudari sekarang? Saya harap saudari dan keluarga dalam keadaan sihat. Sudah agak lama kita tidak berjumpa. Surat saudari telah saya terima seminggu yang lalu. Terima kasih kerana saudari masih mengingati saya di sini. 

               Dalam surat saudari yang lalu, saudari ada bertanyakan tentang persediaan saya menghadapi peperiksaan UPSR. Untuk pengetahuan saudari, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Langkah pertama saya ialah dengan mengubahsuai jadual waktu belajar. Saya akan menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran dari pukul 9.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.

                 Selain mengikuti kelas tambahan di sekolah, saya juga ada mengikuti kelas tambahan Pusat Tuisyen. Ibu bapa saya telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak tiga kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.


              Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Saya akan segera bertanya guru sekiranya saya tidak faham supaya saya terus dapat mengikuti pengajarannya dengan berkesan. Program gerak gempur yang diadakan di sekolah amat membantu saya. Hampir setiap hari, saya dan rakan-rakan di kelas akan menjawab soalan latih tubi yang disediakan oleh guru-guru.


               Di samping itu, saya juga selalu pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam Simpang Empat untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya akan pergi ke Perpustakaan Awam Simpang Empat pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar dan bertukar-tukar nota.

              Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudari kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk saudari serta keluarga.

                                                                                                             Sahabatmu,


                                                                                                             ................................
                                                                                                             (Qaireen Binti Hilmi)