SEJARAH
KEMERDEKAAN
TANGGAL 31 Ogos diabadikan setiap
tahun sebagai tarikh penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia sempena
sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Namun, slogan, laungan merdeka dan
cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak menghayati dengan penuh
kesedaran dan kesyukuran nilai kemerdekaan yang sebenarnya.
Penghayatan kemerdekaan bukan
sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka malah merupakan penghayatan dan
pemahaman maksud serta kepentingan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi.
Mungkin ramai yang tidak
mengetahui erti kemerdekaan yang sebenar. Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas
daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada
terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan
dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Kemerdekaan telah mengangkat
maruah dan kedaulatan negara kerana tidak boleh dijual beli.
Rakyat Malaysia yang cintakan tanah air wajar memelihara nama baik negara di mana
sahaja mereka berada. Aspek keselamatan, maruah dan kedaulatan negara
bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan tetapi turut dipikul bersama oleh
seluruh rakyat.
Kemerdekaan ini bukanlah takdir
semata-mata tetapi adalah hasil usaha pejuang dan pemimpin terdahulu. Sebagai
rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga maruah serta
kedaulatan negara. Sematkan juga di dalam diri semangat cintakan negara serta
sentiasa menjaga dan menjulang nama baik Malaysia walau di mana kita berada.