SELAMAT DATANG KE LAMAN SESAWANG PENA DAN AKSARA

Thursday 7 August 2014

Bahasa Melayu Moden


Bahasa Melayu moden dikatakan bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden kerana sifatnya yang dikatakan agak menyimpang dengan bentuk bahasa Melayu klasik. Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.

2. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.

3. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyebut bahawa, “Bahasa Kebangsaan negara ini adalah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang Parlimen”.

4. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara (bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan persekutuan, negeri, tempatan dan badan berkanun).

5. Laporan Razak 1956 mencadangkan agar bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dan menjadi alat utama perpaduan antara kaum.

Tuesday 5 August 2014

Bahasa Melayu Klasik

BAHASA Melayu klasik ialah bahasa Melayu yang digunakan pada abad ke-14 hingga abad ke-19. Pada zaman ini, pengaruh Arab dan agama Islam sangat giat berkembang di Nusantara. Oleh itu, bahasa Melayu klasik ialah bahasa yang berkembang selari dengan pengaruh agama Islam di Asia Tenggara.

Bahasa Melayu ini berkembang pesat pada zaman kerajaan Melayu Melaka (1403-1511), kemudiannya berpindah ke Aceh, dan akhirnya Johor-Riau. Bahasa klasik ini lebih jelas berbanding dengan bahasa kuno.

SUMBER
Penggunaan bahasa ini dapat dikenal pasti daripada beberapa sumber, iaitu batu bersurat, karya sastera dan agama, dan surat rasmi raja Melayu.

.















a. Batu Bersurat

Batu bersurat penting zaman ini ialah batu bersurat Kuala Berang. Batu ini ditemukan di Sungai Teresat, Kuala Berang, Hulu Terengganu, bertarikh 22 Februari 1303 Masihi, bersamaan dengan 4 Rejab 702 Hijrah. Kandungannya tentang perintah dan undang-undang Islam yang dikenakan terhadap rakyat dan pemerintah.



b. Karya Sastera dan Agama

Pada zaman Melaka, karya sastera yang penting ialah Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hukum Kanun Melaka, dan Undang-undang Laut Melaka.


Ketika zaman Aceh, muncul karya sastera bercorak tasawuf, syair sufi, falsafah, dan ketatanegaraan. Antara karya yang penting ialah Syair Dagang, Syair Burung Pingai, Syair Burung Pungguk, dan Syair Perahu karya Hamzah Fansuri; karya agama, Mirat al-Mukminin, dan Miratul Iman oleh Shamsuddin al-Sumaterani; Siratul Mustaqim, dan Bustan al-Salatin karya Syeikh Nuruddin al-Raniri; serta Mirat al-Tuluh karya Abdul Rauf Singkel.

Di Pulau Penyengat, Johor-Riau, muncul karya dalam bahasa klasik karangan Raja Ali Haji, antaranya Kitab Bustan al-Katibin (1857), Pengetahuan Bahasa (1859), Salasilah Melayu dan Bugis (1865), dan Tuhfat al-Nafis (1865).


Karya lain dalam bahasa Melayu klasik ialah Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Bayan Budiman, Misa Melayu, Hikayat Negeri Johor, Kisah Pelayaran Abdullah, Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, dan Hikayat Panji Semirang.




c. Surat Rasmi Raja Melayu

Surat raja-raja Melayu ini bertulisan Jawi dan dikirim kepada orang-orang Eropah atas urusan rasmi kerajaan.

Antara surat tersebut ialah dua pucuk surat daripada Sultan Ternate kepada raja Portugal (1521 Masihi dan 1522 Masihi); surat izin perniagaan Sultan Aceh kepada nakhoda Inggeris (1602 Masihi); surat Sultan Alauddin Shah kepada Kapten Harry Middleton (1602 Masihi), dan surat daripada Sultan Perkasa Alam Johan Berdaulat Aceh kepada King James I, England (1615 Masihi).