SELAMAT DATANG KE LAMAN SESAWANG PENA DAN AKSARA

Sunday 12 October 2014

Pameran TMK Bahasa Melayu di S.K Pengkalan Baharu...

Pada 10 Oktober 2014, Pameran Teknologi Maklumat dan Komputer Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah telah diadakan di S.K Pengkalan Baharu...











































Thursday 7 August 2014

Bahasa Melayu Moden


Bahasa Melayu moden dikatakan bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden kerana sifatnya yang dikatakan agak menyimpang dengan bentuk bahasa Melayu klasik. Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.

2. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.

3. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyebut bahawa, “Bahasa Kebangsaan negara ini adalah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang Parlimen”.

4. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara (bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan persekutuan, negeri, tempatan dan badan berkanun).

5. Laporan Razak 1956 mencadangkan agar bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dan menjadi alat utama perpaduan antara kaum.

Tuesday 5 August 2014

Bahasa Melayu Klasik

BAHASA Melayu klasik ialah bahasa Melayu yang digunakan pada abad ke-14 hingga abad ke-19. Pada zaman ini, pengaruh Arab dan agama Islam sangat giat berkembang di Nusantara. Oleh itu, bahasa Melayu klasik ialah bahasa yang berkembang selari dengan pengaruh agama Islam di Asia Tenggara.

Bahasa Melayu ini berkembang pesat pada zaman kerajaan Melayu Melaka (1403-1511), kemudiannya berpindah ke Aceh, dan akhirnya Johor-Riau. Bahasa klasik ini lebih jelas berbanding dengan bahasa kuno.

SUMBER
Penggunaan bahasa ini dapat dikenal pasti daripada beberapa sumber, iaitu batu bersurat, karya sastera dan agama, dan surat rasmi raja Melayu.

.















a. Batu Bersurat

Batu bersurat penting zaman ini ialah batu bersurat Kuala Berang. Batu ini ditemukan di Sungai Teresat, Kuala Berang, Hulu Terengganu, bertarikh 22 Februari 1303 Masihi, bersamaan dengan 4 Rejab 702 Hijrah. Kandungannya tentang perintah dan undang-undang Islam yang dikenakan terhadap rakyat dan pemerintah.



b. Karya Sastera dan Agama

Pada zaman Melaka, karya sastera yang penting ialah Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hukum Kanun Melaka, dan Undang-undang Laut Melaka.


Ketika zaman Aceh, muncul karya sastera bercorak tasawuf, syair sufi, falsafah, dan ketatanegaraan. Antara karya yang penting ialah Syair Dagang, Syair Burung Pingai, Syair Burung Pungguk, dan Syair Perahu karya Hamzah Fansuri; karya agama, Mirat al-Mukminin, dan Miratul Iman oleh Shamsuddin al-Sumaterani; Siratul Mustaqim, dan Bustan al-Salatin karya Syeikh Nuruddin al-Raniri; serta Mirat al-Tuluh karya Abdul Rauf Singkel.

Di Pulau Penyengat, Johor-Riau, muncul karya dalam bahasa klasik karangan Raja Ali Haji, antaranya Kitab Bustan al-Katibin (1857), Pengetahuan Bahasa (1859), Salasilah Melayu dan Bugis (1865), dan Tuhfat al-Nafis (1865).


Karya lain dalam bahasa Melayu klasik ialah Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Bayan Budiman, Misa Melayu, Hikayat Negeri Johor, Kisah Pelayaran Abdullah, Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, dan Hikayat Panji Semirang.




c. Surat Rasmi Raja Melayu

Surat raja-raja Melayu ini bertulisan Jawi dan dikirim kepada orang-orang Eropah atas urusan rasmi kerajaan.

Antara surat tersebut ialah dua pucuk surat daripada Sultan Ternate kepada raja Portugal (1521 Masihi dan 1522 Masihi); surat izin perniagaan Sultan Aceh kepada nakhoda Inggeris (1602 Masihi); surat Sultan Alauddin Shah kepada Kapten Harry Middleton (1602 Masihi), dan surat daripada Sultan Perkasa Alam Johan Berdaulat Aceh kepada King James I, England (1615 Masihi).

Wednesday 23 July 2014

Bahasa Melayu Kuno

Bahasa Melayu Kuno

1. Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga bahasa Nusantara di bawah golongan bahasa Sumatera. Bahasa Melayu kuno digunakan pada abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya. pada waktu itu, BM kuno telah menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran kerana sifat bahasa Melayu yang bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Bahasa Melayu juga tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat dan mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

2. Oleh sebab agama Hindu menjadi pegangan orang Melayu ketika itu, bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit yang menyumbang kepada pengayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu. Bahasa Sanskrit dianggap sebagai bahasa sarjana dan digunakan oleh bangsawan. Bahasa Melayu juga mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.

3. Bukti penggunaan Bahasa Melayu kuno boleh dilihat pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Palawa iaitu:

a. Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
b. Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
c. Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
d. Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)

4. Berpandukan isinya, penulisan di batu bersurat tersebut dibuat atas arahan raja Srivijaya, sebuah kerajaan yang mempunyai empayar meliputi Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Segenting Kra dan Sri Lanka. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pentadbiran kerajaan Srivijaya, sekaligus meluaskan penyebaran Bahasa Melayu ke tanah jajahan takluknya . Walaupun bahasa pada batu bersurat itu masih berbahasa Sanskrit, akan tetapi masih terdapat pengaruh Bahasa Melayu Kuno di dalamnya.

5. Istilah “Melayu” timbul buat pertama kali dalam tulisan Cina pada tahun 644 dan 645 Masehi. Tulisan ini menyebut mengenai orang “Mo-Lo-Yue” yang mengirimkan utusan ke Negeri China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi keada Raja China. Letaknya kerajaan “Mo-Lo-Yue” ini tidak dapat dipastikan tetapi ada yang mencatatkan di Semenanjung Tanah Melayu dan di Jambi, Sumatera.

6. Selain bukti penggunaan bahasa Melayu kuno di atas,batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.

7. Bahasa Melayu kuno mempunyai beberapa ciri iaitu;

(a) Terdapat unsur-unsur pinjaman daripada bahasa Sanskrit.
(b) Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan – wulan)
(c) Tidak wujud bunyi e pepet (Contoh dengan – dngan atau dangan)
(d) Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
(e) Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat – niparwuat)
(f) Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)

(g) Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Sejarah Perkembangan dan Asal Usul Bahasa Melayu

Sejarah Perkembangan dan Asal Usul Bahasa Melayu

1. Untuk mengetahui asal usul Bahasa Melayu kita perlu mengetahui asal usul penutur aslinya terlebih dahulu, iaitu orang Melayu. Asal usul bangsa Melayu sehingga kini masih kabur tetapi beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria) telah melakukan penyelidikan secara kasar tentang latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno.

2. Teori mereka menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal daripada kelompok Austronesia, iaitu kelompok manusia yang berasal dari daerah Yunan di China yang kemudiannya berhijrah dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan akhirnya menduduki wilayah Asia Tenggara.

3. Gelombang pertama dikenali sebagai Melayu-Proto dan berlaku kira-kira 2500 tahun Sebelum Masehi

4. Kira-kira tahun 1500 tahun Sebelum Masehi, datang pula gelombang kedua yang dikenali sebagai Melayu-Deutro. Mereka mendiami daerah-daerah yang subur di pinggir pantai dan tanah lembah Asia Tenggara. Kehadiran mereka ini menyebabkan orang-orang Melayu-Proto seperti orang-orang Jakun, Mahmeri, Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain berpindah ke kawasan hutan dan pedalaman. Golongan Melayu-Deutro ini dikatakan nenek moyang masyarakat Melayu yang ada pada masa kini.

5. Bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia, manakala bahasa-bahasa Austronesia ini berasal daripada keluarga bahasa Austris. Selain daripada rumpun bahasa Austronesia, terdapat rumpun bahasa Austro-Asia dan rumpun bahasa Tibet-Cina.

6. Ahli bahasa telah membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
(a) Bahasa Melayu Kuno,
(b) Bahasa Melayu Klasik dan
(c) Bahasa Melayu Moden.